Tuesday, November 10, 2009

Utamanya Bersopan Santun

Surah Al-furqan ayat 63 :

وَعِـبَادُ الـرَّحْمَنِ الَّـذِينَ يَمْـشُـونَ عَلَى الأرْضِ هَـوْنًا وَإِذَا خَـطَـبَهُمُ الْـجَاهِـلُـونَ قَالُوا سَـلامًا

maksudnya: Dan hamba Allah Ar-Rahman (yang diredhai NYA) ialah mereka yang berjalan di muka bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang kurang beradab (orang yang jahil) menghadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan selamat daripada yang tidak diingini (yang menyinggung perasaan).

Ungkapan ` Mulai daripada Dirimu ` adalah maksud daripada Sabda Nabi Muhammad Rasul Allah SAW sebagai kata-kata motivasi kepada umat Islam dalam mempersembahkan yang terbaik sebagai ibadah yang akan memperolehi darjat dicintai Allah. Bersopan santun adalah akhlak atau budi pekerti bagi sesaorang yang sangat disenangi sekali oleh sesiapa saja dalam pergaulannya. Seorang bapa akan merasa senang sekali bila anak-anaknya bersopan santun, seorang suami akan lebih menyayangi isteri yang bersopan santun begitu juga sebaliknya, seorang guru akan menyayangi muridnya yang bersopan santun, seorang pemimpin akan lebih menyukai orang bawahanya yang bersopan santun, jadi bersopan santun adalah sifat daripada Allah yang perlu dipelihara dan dijaga sentiasa.

Sekarang soalnya bagaimana memulakan, dalam satu-satu pekerjaan memulai adalah bahagiannya yang paling susah. Kalau kita sudah berhasrat untuk melakukan sesuatu pekerjaan, selalu datang banyak perkiraan, banyak andaian, banyak prasangka dan bermacam-macam lagi yang mempengaruhi dalam fikiran kita, sehingga tidak dapat terlaksana dengan segera atau pasti akan lambat tindak-balasnya daripada kita, kadang-kadang sampai tidak terlaksana, begitulah susahnya memulakan sesuatu pekerjaan, benar atau tidak, sadar atau tidak namun begitulah kejadiannya yang selalu berlaku.

Untuk mengajak orang lain melakukan sesuatu kebaikan dan seumpanya memang Nampak mudah dan cukup senang, apa yang diperlukan ialah lebih banyak kepada bercakap sahaja tetapi mengajak diri sendiri susah sebab ia perlu kepada tindakan lanjut dan perlaksaannya. Rasulullah menyuruh dengan bersabda baginda yang bermaksud "Mulailah daripada Diri Mu", mungkin kerana kadang-kadang juga sangat susah susah menyuruh atau mengajak orang terutama dalam agama dan kebaikan, jadi kenapa sahaja kita tidak memulai dengan mengajak diri sendiri sebagaimana kata Mursyid Abah Anom yang pernah saya dengar. “kalau-susah ajak sajalah dirimu”, justeru itu pula yang lebih susah.

Kita berhadapan dengan orang awam lebih yang banyak melihat kepada penampilan sesaorang bukan memandang kepada apa yang dikatakannya, dan memang penampilan bukanlah ukuran yang mutlak tetapi penampilan itu melambangkan sifat-sifat keperibadian sesaorang terutama dalam tingkah laku serta penyampaikan kata-kata. Pemilihan kata-kata yang sesuai sudah mestinya diambilkira supaya tidak akan menyinggung perasaan orang lain. Islam memang menyuruh menyampaikan kebenaran itu dengan tegas sekalipun sakit didengar atu dirasakan, akan tetapi Islam juga menyuruh supaya mengajak atau menyampaikan dakwah itu dengan cara yang berhikmah. Saidina Ali Karamullahuwajha pernah berkata "jikalau kamu berhadapan dengan orang awam atau fakir, janganlah mulai pembicaraanmu dengan Ilmu, tetapi tunjukkan kasih sayang supaya hatinya tidak akan liar", nah di sinilah utamanya perilaku yang bersopan santun.

Bersopan santun pula bukan terbatas di tempat-tempat seperti majlis-majlis atau perjumpaan-perjumpaan atau di mana atau perkumpulan tetapi juga masuk di Jalan Raya. Seringkali pemandu-pemandu yang kurang bersopan menyebabkan kecelakaan kepada orang lain atau sesame pemandu yang kadang-kadang menimbul rasa kejengkelan dengan sikap sesetengah daripada mereka, lalu timbul kata-kata nista, maki hamun dan sebagainya yang berkesudahan dengan pergaduhan. Kalau saja setiap orang bertertib di Jalan Raya kita percaya banyak perkara yang tidak diingini tidak berlaku.

bersambung....


Sunday, November 8, 2009

USIA perlukan reformasi ...?

Melihat kepada perkembangan mutakhir, USIA hari ini yang sudah berusia lebih 40 tahun, sampai masa ia perlu kepada reformasi serta penstrukturan semula organisasinya supaya ia lebih mantap dan lebih efisen dalam kebangkitan perjuangannya sebagai NGO yang berteras kepada Dakwah Islamiah demi kemaslahatan Ummat Islam yang menjadi rakyat Negeri Sabah dan dapat pula membersihkan imejnya serta menghapuskan segala yang negatif memalitkan imej menjadi jelek kepada rakyat Sabah khususnya. Bermula dari soal-soal keahlian, keahlian dalam mana-mana juga Organisasi adalah perkara yang sangat diutamakan, boleh dikatakan kepada Ahli-Ahli lah terletaknya akautibiliti atau tanggungjawab yang akan menentukan halatuju perjalanan dan matalamat sesebuah Organisasi mengikut Dasar dan Perlembagaannya. Seringkali juga keahlian Organisasi yang tidak terurus secara sistematik menjadi penyebab kepada akibat-akibat yang fatal kepada organisasi itu sendiri, sebagimana yang pernah berlaku kepada yang lain seperti Pembatalan Pendaftaran oleh Pendaftar Petubuhan ROS), atau tidak sahnya sesuatu Mesyuarat Agung atau Mesyuarat Luarbiasa atau Mesyuarat-mesyuarat Lain di Peringkat lainnya. Hakikatnya keperluan kepada penstrukturan semula organisasi itu sentiasa akan ada dari semasa ke semasa tidak terkecuali USIA.


USIA sebagai sebuah NGO yang berperanan memartabatkan status Umat Islam di Sabah, telahpun menjangkau usia seumur dengan usia Kemerdekaan Negeri Sabah melalui Malaysia. Penubuhannya memang bertepatan dengan masa mula-mula kita mencapai Kemerdekaan, jadi tidaklah jadi sesuatu yang keterlaluan kalau kita katakan USIA itu Peniup Ruh Islam kepada Rakyat Sabah sewaktu kita mula-mula merdeka yang pada ketika kita masih serba kekurangan dari berbagai-bagai segi untuk membangunkan dan menyedarkan bahawa Islam perlu dimertabatkan sesuai dengan statusnya sebagai Agama Rasmi di Sabah dalam ertikata yang sebenar.
Ahli-Ahli USIA sehingga hari ini masih bertaburan di seluruh Negeri walaupun jumlahnya masih lagi besar dan terdiri daripada pelbagai suku kaum dan juga Lapisan Masyarakat. Kini USIA telah melangkah jauh ke hadapan dengan melalui serta menempuh liku-liku dan ranjau-ranjau yang berduri dalam perjuangannya yang secara pasti perjuangannya masih belum selesai.


Satu Perkara yang perlu dingat bahawa USNO (Parti Politik yang membawa Kemerdekaan Sabah) dan USIA suatu ketika dulu sangat sinonim, dan kebetulan ia diasaskan Penubuhannya sebagai sebuah Organisasi Bukan Kerajaan dan manjadi sayap Kerajaan oleh orang yang sama iaitu Yabhg. Tun Datu Mustapha Bin Datu Harun, yang telah mengisytiharkan semua Ahli USNO adalah secara otomatik menjadi Ahli USIA.


USNO telah bubar, maknanya Ahli-Ahli USIA yang ada sekarang adalah Ahli USIA secara mutlak meskipun orangnya tetap juga sama. Ini tidak ada salahnya justertu itulah yang perlu kepada anjakan pradigma supaya USIA dapat keluar dari kepompong yang terbentuk pada zaman USNO dan tidak terus berpegang dengan agenda lamanya yang mungkin banyak sudah yang tidak releven lagi dengan keperluan semasa. Pindaan Perlembagaan dalam konteks ini dianggap perlu kerana USNO sudah tiada, sungguhpun ada usaha menghidupkan semula USNO, ini tidak bermakna USIA harus pulang ke gagang, kehairan UMNO bkan untuk mengganti USIA, dan kelak USIA boleh berdiri sendiri sebagai Organisasi yang prominen yang memertabatkan dan mengangkat darjat serta integriti Umat Islam di Negeri Sabah dengan Identiti dan entiti sendiri.


Seperkara lagi tentang keahlian ialah soal yuran yang tidak boleh dipandang ringan, memang tidak sekali-kali dapat dinafikan bahawa yuran bagi sesebuah organisasi itu merupakan sebahagian daripada agenda Pengumpulan Dana, tetapi dalam banyak hal yang kita lihat, Keahlian dan Yuran-yuran Ahli Organisasi ini telah tidak terurus secara teratur. Kenapa boleh terjadi begitu ? bukan soalnya yang perlu dipanjang lebarkan merumuskannya. Apa yang sangat ketara kalau kita telti ialah sikap dan mentaliti segelintir individu-individu yang telah menjadi ahli organisasi itu sendiri yang banyak kepada memikirkan apakah faedah atau habuan yang bakal diperolehi oleh mereka daripada organisasi yang dianggotainya, daripada menanamkan azam dan sifat bekerja atau bekhidmat untuk organisasi, jadi lebih banyak kepada individu itu berkira daripada menyumbang sehingga akhirnya berlakulah pengabaian terhadap tanggungjawab yang sekecil ini disebabkan perlakuan set minda sebegitu.


Cara apa yang dapat difikirkan pada masa ini, ialah mengusulkan supaya menukarkan melalui Pindaan Perlembagaan bagi Yuran Biasa yang perlu dibayar oleh setiap Ahli setiap Tahun kepada Yuran bagi keahlian seumur umur hidup sebagai salah satu langkah mereformasi USIA. kalau boleh kita mengambil contoh serta saranan YAB Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang pernah menyuarakan supaya Organisasi lain yang bersama dalam Wadah Perjuangan mensukseskan gagasan serta Wawasan Negara, turut menyertai langkah mereformasikan Organisasinya supaya ia terus releven kepada kehendak dan keperluan semasa.


Melalui Pindaan Perlembagaan sahaja perkara-perkara tersebut dapat dilaksanakan. Sekiranya perkara ini dapat direalisasikan, ia akan memberi impak dan kesan yang positif disebabkan akan tidak lagi wujud tunggakan dan Senarai Keahlian kelak akan dengan sendirinya dapat dikemaskinikan dan ditadbir secara lebih sistematik, perkara-perkara yang menjadi beklog dan liabiliti organisasi pun akan dapat dikurangkan pastinya produktibiti pula dapat ditingkatkan.


Kelihatan sekarang ini USIA lebih daripada mampu untuk melaksanakan peranan terhadap kemaslahatan Ummat Islam di Sabah, aset yang ada pada USIA pun lebih daripada cukup untuk menggerakkan program dan aktibitinya serta pelan tindakannya secara strategik, namun terserahlah juga kepada Kempimpinan USIA yang kelak akan terpilih nanti, untuk menentukannya dengan pasti. Menjelang Perhimpunan Agung USIA ke 23 nanti, para ahli yang terlibat dalam perbahasan kelak dimintalah supaya mereka memberi pandangan yang pragmatic sebagai landasan untuk membina kekuatannya yang menjaminkan kejayaan dalam memperjuangkan dan memertabatkan Islam sebagai agama rasmi di Sabah dan tinggalkan set minda yang jumud yang hanya membawa kepada kemunduran Islam itu sendiri.

Wallahu a`lam.