Sunday, November 8, 2009

USIA perlukan reformasi ...?

Melihat kepada perkembangan mutakhir, USIA hari ini yang sudah berusia lebih 40 tahun, sampai masa ia perlu kepada reformasi serta penstrukturan semula organisasinya supaya ia lebih mantap dan lebih efisen dalam kebangkitan perjuangannya sebagai NGO yang berteras kepada Dakwah Islamiah demi kemaslahatan Ummat Islam yang menjadi rakyat Negeri Sabah dan dapat pula membersihkan imejnya serta menghapuskan segala yang negatif memalitkan imej menjadi jelek kepada rakyat Sabah khususnya. Bermula dari soal-soal keahlian, keahlian dalam mana-mana juga Organisasi adalah perkara yang sangat diutamakan, boleh dikatakan kepada Ahli-Ahli lah terletaknya akautibiliti atau tanggungjawab yang akan menentukan halatuju perjalanan dan matalamat sesebuah Organisasi mengikut Dasar dan Perlembagaannya. Seringkali juga keahlian Organisasi yang tidak terurus secara sistematik menjadi penyebab kepada akibat-akibat yang fatal kepada organisasi itu sendiri, sebagimana yang pernah berlaku kepada yang lain seperti Pembatalan Pendaftaran oleh Pendaftar Petubuhan ROS), atau tidak sahnya sesuatu Mesyuarat Agung atau Mesyuarat Luarbiasa atau Mesyuarat-mesyuarat Lain di Peringkat lainnya. Hakikatnya keperluan kepada penstrukturan semula organisasi itu sentiasa akan ada dari semasa ke semasa tidak terkecuali USIA.


USIA sebagai sebuah NGO yang berperanan memartabatkan status Umat Islam di Sabah, telahpun menjangkau usia seumur dengan usia Kemerdekaan Negeri Sabah melalui Malaysia. Penubuhannya memang bertepatan dengan masa mula-mula kita mencapai Kemerdekaan, jadi tidaklah jadi sesuatu yang keterlaluan kalau kita katakan USIA itu Peniup Ruh Islam kepada Rakyat Sabah sewaktu kita mula-mula merdeka yang pada ketika kita masih serba kekurangan dari berbagai-bagai segi untuk membangunkan dan menyedarkan bahawa Islam perlu dimertabatkan sesuai dengan statusnya sebagai Agama Rasmi di Sabah dalam ertikata yang sebenar.
Ahli-Ahli USIA sehingga hari ini masih bertaburan di seluruh Negeri walaupun jumlahnya masih lagi besar dan terdiri daripada pelbagai suku kaum dan juga Lapisan Masyarakat. Kini USIA telah melangkah jauh ke hadapan dengan melalui serta menempuh liku-liku dan ranjau-ranjau yang berduri dalam perjuangannya yang secara pasti perjuangannya masih belum selesai.


Satu Perkara yang perlu dingat bahawa USNO (Parti Politik yang membawa Kemerdekaan Sabah) dan USIA suatu ketika dulu sangat sinonim, dan kebetulan ia diasaskan Penubuhannya sebagai sebuah Organisasi Bukan Kerajaan dan manjadi sayap Kerajaan oleh orang yang sama iaitu Yabhg. Tun Datu Mustapha Bin Datu Harun, yang telah mengisytiharkan semua Ahli USNO adalah secara otomatik menjadi Ahli USIA.


USNO telah bubar, maknanya Ahli-Ahli USIA yang ada sekarang adalah Ahli USIA secara mutlak meskipun orangnya tetap juga sama. Ini tidak ada salahnya justertu itulah yang perlu kepada anjakan pradigma supaya USIA dapat keluar dari kepompong yang terbentuk pada zaman USNO dan tidak terus berpegang dengan agenda lamanya yang mungkin banyak sudah yang tidak releven lagi dengan keperluan semasa. Pindaan Perlembagaan dalam konteks ini dianggap perlu kerana USNO sudah tiada, sungguhpun ada usaha menghidupkan semula USNO, ini tidak bermakna USIA harus pulang ke gagang, kehairan UMNO bkan untuk mengganti USIA, dan kelak USIA boleh berdiri sendiri sebagai Organisasi yang prominen yang memertabatkan dan mengangkat darjat serta integriti Umat Islam di Negeri Sabah dengan Identiti dan entiti sendiri.


Seperkara lagi tentang keahlian ialah soal yuran yang tidak boleh dipandang ringan, memang tidak sekali-kali dapat dinafikan bahawa yuran bagi sesebuah organisasi itu merupakan sebahagian daripada agenda Pengumpulan Dana, tetapi dalam banyak hal yang kita lihat, Keahlian dan Yuran-yuran Ahli Organisasi ini telah tidak terurus secara teratur. Kenapa boleh terjadi begitu ? bukan soalnya yang perlu dipanjang lebarkan merumuskannya. Apa yang sangat ketara kalau kita telti ialah sikap dan mentaliti segelintir individu-individu yang telah menjadi ahli organisasi itu sendiri yang banyak kepada memikirkan apakah faedah atau habuan yang bakal diperolehi oleh mereka daripada organisasi yang dianggotainya, daripada menanamkan azam dan sifat bekerja atau bekhidmat untuk organisasi, jadi lebih banyak kepada individu itu berkira daripada menyumbang sehingga akhirnya berlakulah pengabaian terhadap tanggungjawab yang sekecil ini disebabkan perlakuan set minda sebegitu.


Cara apa yang dapat difikirkan pada masa ini, ialah mengusulkan supaya menukarkan melalui Pindaan Perlembagaan bagi Yuran Biasa yang perlu dibayar oleh setiap Ahli setiap Tahun kepada Yuran bagi keahlian seumur umur hidup sebagai salah satu langkah mereformasi USIA. kalau boleh kita mengambil contoh serta saranan YAB Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang pernah menyuarakan supaya Organisasi lain yang bersama dalam Wadah Perjuangan mensukseskan gagasan serta Wawasan Negara, turut menyertai langkah mereformasikan Organisasinya supaya ia terus releven kepada kehendak dan keperluan semasa.


Melalui Pindaan Perlembagaan sahaja perkara-perkara tersebut dapat dilaksanakan. Sekiranya perkara ini dapat direalisasikan, ia akan memberi impak dan kesan yang positif disebabkan akan tidak lagi wujud tunggakan dan Senarai Keahlian kelak akan dengan sendirinya dapat dikemaskinikan dan ditadbir secara lebih sistematik, perkara-perkara yang menjadi beklog dan liabiliti organisasi pun akan dapat dikurangkan pastinya produktibiti pula dapat ditingkatkan.


Kelihatan sekarang ini USIA lebih daripada mampu untuk melaksanakan peranan terhadap kemaslahatan Ummat Islam di Sabah, aset yang ada pada USIA pun lebih daripada cukup untuk menggerakkan program dan aktibitinya serta pelan tindakannya secara strategik, namun terserahlah juga kepada Kempimpinan USIA yang kelak akan terpilih nanti, untuk menentukannya dengan pasti. Menjelang Perhimpunan Agung USIA ke 23 nanti, para ahli yang terlibat dalam perbahasan kelak dimintalah supaya mereka memberi pandangan yang pragmatic sebagai landasan untuk membina kekuatannya yang menjaminkan kejayaan dalam memperjuangkan dan memertabatkan Islam sebagai agama rasmi di Sabah dan tinggalkan set minda yang jumud yang hanya membawa kepada kemunduran Islam itu sendiri.

Wallahu a`lam.

No comments:

Post a Comment