Friday, December 11, 2009

Permurnian Aqidah mesti berterusan

Resolusi Kursus Pemurnian Aqidah Imam-Imam Kariah dan Rawatib Semporna

Pemurnian Aqidah sebagaimana dibincangkan dalam seminar Imam-Imam adalah usaha kontinu dan berterusan yang semestinya dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh setiap individu muslim mahupun muslimat kerana bahayanya Syirik (menyukutukan Allah dengan sesuatu yang baharu) itu, kelak tidak akan mendapat keampunan daripada Allah swt sebab dosa yang sebesar-besarnya yang tidak diampuni Allah ialah apabila sesaorang hamba menjadi Syirik terhadapNya. …..na udzu billahi min dzalik. Islam sebagai agama samawi yang berteraskan kepada Tauhid (mengesakan Allah) banyak memberi penekanan terhadap kemurnian aqidah itu sendiri melalui petunjuk-petunjuk berpaksi kepada Risalah wahyu yang dibawakan kepada Rasulullah untuk disampaikan, sementara Hadith Nabi pula berfungsi sebagai tarbiah menterjemahnya dalam kehidupan realiti manusia yang bertaqwa kepada NYA dan bersabda Rasulullah saw sebagai manifesto memperkuatkannya:

اَلـمَعْرِفَةٌ بِقَـلْبِي وَقَـولٌ بِالِّـيْسَنِي وَاَعْـمَلٌ بِالأَرْقَـانِ

Daripada Saidina Ali Abi Talib karamullahu wajha mafhumnya : Makrifat itu letaknya di hati (qalbu), dan diucapkan dengan lisan dan diterjemahkan dalam bentuk perbuatan (amalan).

Yang namanya taqwa itu tidak cukup sekadar bacaan atau dengan ucapan lisan sahaja, ia hendaklah dapat diterjemahkan dalam perbuatan dan bagaimana pula bentuk rupa perbuatannnya? Tidak lain daripada melaksanakan apa yang diperintahkan Allah dan menjauhi pula segala apa yang menjadi larangan Nya termasuklah syirik terhadap Nya.

Rasulullah juga pernah bersabda :

جـدو ايمانكم بكـثرت قـول لأ الـه الأ اللَّـه

mafhumnya : Perbaharui Iman kamu dengan membanyakkan ucapan La Ilaha Illallah.

Dengan mengucapankan se ikhlas-ikhlasnya (ucapan dengan lisan yang disertai penghayatan yang datang dari lulbuk hati nurani) akan kalimat itu nescaya terhindarlah kita daripada gejala-gejala yang boleh menjadikan syirik terhadap Allah, samada syirik itu syirik jali atau syirik yang terang-terangan sehingga terkeluar dari Islam ataupun syirik khofi , syirik yang tersembunyi di hati walaupun tidak nyata tapi menggugat keimanan terhadap Allah swt, dan ini landasan utama daripada jalan-jalannya ke arah permurnian Aqidah. Allah berfirman di dalam Al-Qur`an surah Ibrahim ayat 24 dan 25:

أَلَـمْ تَـرَ كَـيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا كَلِـمَةً طَيِّبَـةً كَـشَجَرَةٍ طَيِّبَـةٍ أَصْلُـهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُـهَا فِي الـسَّمَاءِ. تُؤْتـِي أُكُلَـهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِـّهَا وَيَـضْرِبُ اللَّهُ الأمْثَـالَ لِلـنَّاسِ لـَعَلَّهُمْ يَتَـذَكَّـرُونَ .

maksudnya: Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) Bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah Yang baik (Kalimah La ilaha illallah) adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka mengingat (mendapat pelajaran).

Ada tamsil dan pelajaran yang boleh kita ambil daripada ayat itu sebagai gambaran tentang kuatnya pegangan aqidah dan keimanan seumpama pangkal pokok yang akar tunjangnya mencengkam bumi dengan teguhnya sehingga tidak mudah untuk ditumbangkan dan cabang pucuknya yang mencapai langit yang memotivasikan ketinggian cita-cita untuk mengabdi dan berkhidmat kepada Allah semantara berbuahnya sepanjang bermusim pula membawa pengertian kepada manusia yang seharusnya menjadi orang yang memberikan manfaat tidak semata-mata bagi dirinya sendiri tetapi juga kepada masyarakat yang ada di sekelilingnya, sesuai dengan tujuan Allah menciptakannya. Firman Nya dalam Qur`an surah ad-dzariah ayat 56 :

وَمَا خَلـَقْـتُ الْـجِنَّ وَالإنْـسَ إِلا لِـيَعْـبُدُونِ

maksudnya: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Di dalam surah al-baqarah ayat 208 Allah berfirman lagi :

يَـا أَيُّهَـا الّـَذِينَ آمـَنُوا ادْخُلُـوا فِي الـسِّلْـمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الـشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِيـنٌ

maksudnya : Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.

Syaitan dan mahluk sejenisnya adalah peyebab kepada manusia itu mengengkari perintah-perintah Allah dan Allah telah memberinya kategori sebagai musuh yang utama kepada manusia, pintar dan bijaknya Iblis dan syaitan jenis sama sampaikan boleh masuk menyelinap ke dalam hati manusia, bujukannya mempersonakan, janji-janjinya meyakinkan, tapi bisanya melumpuhkan saraf sehingga manusia tidak berdaya akhirnya rosaklah iman dan aqidah sedang amalnya terus menerus derhaka dan lupa kepada Allah yang mencipta dan memberikan segala nikmat kehidupan pada manusia, nafsu sebagai tempat bersemanyamnya menjadi penguasa di hatinya. Sebagai lanjutan kepada peringatan Allah kepada manusia agar jangan lalai dan lupa, Allah berfirman surah az-zukhruf ayat 36:

وَمَنْ يَعـْشُ عَنْ ذكْرِ الـرَّحْمـَنِ نُقَـيِّضْ لَهُ شَـيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَـرِينٌ

maksudnya : Dan sesiapa berpaling daripada mengingat Yang Maha Rahman (tidak mengindahkan pengajaran Al-Quran Yang diturunkan oleh Allah), Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

Amalan khurafat:

Khurafat adalah amalan yang dapat merusakkan aqidah, kepercayaan yang banyak bersandar kepada kepercayaan-kepercayaan animisma tidak ada dasarnya dalam Agama Islam seperti mempercayai adanya kuasa pada kubur atau individu memilik kuasa ghaib dari pertolongan orang halus, boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dan menyelesaikan banyak perkara. Selalu ini yang selalu menjadi modal kepada para dukun atau bomoh yang pandai memainkan kata-kata seolah-olah pendakwah agama. Orang awam yang tidak dibekalkan dengan petunjuk Agama secukupnya akan dengan mudah percaya kerana tidak mengenal antara mana karamah dengan syihir permainan manusia dan akhirnya terjebak dalam delima sehingga merusakkan aqidah.

Memang bukan mudah untuk membasmi khurafat sebab ialah telah berakar umbi dalam masyarakat, ia tidak akan dapat dibasmi selagi ada yang mempercayai. Masyarakat setempat berkurun lamanya mengamalkan sehngga membudaya yang ertinya satu kewajipan untuk melaksanakanya istilahnya ` Biar mati anak jangan mati adat ` nilai-nilai agama hanya merupakan tempelan kepada upacara-upacara seumapamanya, jadilah kelihatannya sebagai suatu upacara agama yang pada namanya Islami padahal penuh dengan hal-hal yang khurafat. Ini lah delima yang dari dahulu sampai ke saat ini masih dalam pertikaian.

Imam-Imam sebagai pemuka dalam masyarakat yang menjadi tempat rujukan orang-orang di persekitarannya, berkewajiban menjelaskan kepada masyarakat dalam perkara-perkara permurnian aqidah dan gejala-gejala yang boleh mencemar dan merusakkannya. Kursus Permurnian Aqidah anjuran JHEAINS hendaklah dijadikan landasan untuk memupuk nilai-nilai murni ajaran Islam dan menyebarkannya kepada masyarakat supaya lebih mengenali secara hakiki apa yang dikehendaki dalam penghayatan Islam secara total. Landasan ini sekaligus akan menolak pandangan negative terhadap apa yang diajarkan dalam Islam. Keperluan kepada usaha secara kolektif para Imam adalah sesuatu yang patut menjadi keutamaan kerana Masyarakat Islam hari ini bukan lagi berhadapan musuh luaran melainkan musuh dalam Islam sendiri atau musuh dalam diri sendiri iaitu Kejahilan. Kejahilan adalah perkara yang setiap umat Islam perlu tangani kerana ia boleh menyebabkan penyelewengan terhadap bukan sahaja aqidah malah kesesatan nyata.

Sama-samalah kita memikirnya....

Wallahu a`lam

No comments:

Post a Comment